KedayanDotCom

Segalanya Mengenai Kedayan

Asal Usul Bangsa Kedayan Di Sabah

Peta sabah
Hasil kajian ini,kita mendapati banyak teori yang menjelaskan tentang asal-usul kaum Kedayan ke Sabah. Terdapat sumber menyatakan Kedayan merupakan bangsa campuran Orang Jawa dan Masyarakat Melayu Brunei .

Sumber ini merujuk kepada peristiwa Sultan Brunei Ke 5 iaitu Sultan Bolkiah (1473-1521) yang pada ketika itu singgah di tanah Nusantara seperti di Kepulauan Jawa, Sumatra, Kalimantan dan termasuklah di tanah Jawa. Sultan Brunei telah menyaksikan aktiviti orang Jawa yang rajin bercucuk tanam dan berpadi dan menawarkan mereka untuk menetap di Brunei.
Keterangan ini juga merujuk kepada kenyataan tulisan Harrison and Harrison 1956 turut menjelaskan kewujudan kaum Kedayan dating dari Jawa Majapahit ketika itu dipercayai bermula pada abad ke-14 dan ke-15 di Kota Batu Brunei. Di sinilah bermulanya ikatan pertalian dan persaudaraan orang Jawa melalui perkahwinan campur dengan Masyarakat Melayu Brunei sehingga pada masa kini kaum Kedayan banyak menetap di Daerah Temburong, Tutong, Belait,Bandar Seri Begawan dan Muara (Jerudong). Pada keagungan tamadun Brunei, kaum Kedayan ini telah berpindah-randah sehinggalah mereka berkembang ke Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu sejarah dan kebudayaan Melayu (1995 : 1120) pula mencatatkan bahawa terdapat sumber lisan yang menyatakan orang Kedayan ini berasal dari Indonesia. Setelah beberapa abad mereka menetap di Brunei, mereka berhijrah ke Sabah dan Sarawak. Sehingga ini, pengkaji yang membuat penyelidikan atas asal usul orang Kedayan sering mengaitkan tempat nenek moyang suku kaum ini dengan kepulauan Indonesia, khususnya dari Jawa.
Namun Hose (1912) dalam kajian sejarah suku kaum Kedayan mendapati bahawa suku kaum ini mempunyai pertalian darah dengan pribumi di Kalimantan, oleh itu beliau mencapai keputusan bahawa orang Kedayan berasal dari Kalimantan.

Sejarah kedatangan kaum Kedayan ke Sabah bermula dari Selatan Negeri Sabah apabila kawasan ini menjadi sebahagian daripada pemerintahan kerajaan Brunei ketika itu. Kawasan-kawasan yang terlibat ialah di Kg Malintaman (Merintaman), Kg Ulu Sipitang,, Mesapol, Kg. Banting dan Kg Luagan di Sipitang merupakan antara penempatan kaum Kedayan terbanyak di Sabah. Selain itu kaum ini juga terdapat di Mempakul dan Limadan di Kuala Penyu, Kg.Lingkungan , Kg.Inuman dan Kg.Bukau di Beaufort. Manakala di Papar kaum ini terdapat di Kg.Kelanahan dan Kg Kelatuan.

Dalam tinjauan yang dibuat di Kg Banting Sipitang,mendapati bahawa sesetengah warga tua yang menetap di kampung berkenaan menyatakan cerita lisan yang diwarisi turun-temurun mendapati bahawa kedatangan kaum Kedayan di Sabah bermula di Kampung Banting ini. Ianya bermula apabila berlakunya penghijrahan masyarakat Kedayan dari Brunei Darusalam, dan Limbang Sarawak. Cerita ini didukung oleh cerita lisan yang disebarkan dari mulut ke mulut (oral literature) dan menjadi genre cerita rakyat dan legenda. Begitupun ada juga mengatakan kedatangan kaum ini ke Sabah semasa kegemilangan Kesultanan Brunei telah membawa banyak penduduk dari negara itu untuk menetap di Sipitang terutamanya di Mesapol dan di kawasan persisiran pantai barat di Sabah.

Setakat ini, tidak banyak kajian dilakukan ke atas orang Kedayan baik yang dilakukan oleh sejarawan atau ahli antropologi. Salah seorang pengkaji sejarah dan budaya orang Kedayan ialah Allen Richmond Maxwell JR. Beliau telah melakukan penyelidikan penuh peringkat PhD-nya atas budaya suku Kedayan di Lembah Labu, Brunei Darussalam yang berjudul Urang Darat, An Ethnographic Study of The Kedayan Of Labu Valley, Brunei, Yale University. Di samping itu, Maxwell (1980) juga menghasilkan sebuah tulisan yang berjudul “On the Various Spelling of the Word Kadayan” (Brunei Museum Journal, Vol. 2, 1970), berhubung dengan pelbagai ejaan dan panggilan orang Kedayan. Akibatnya terhasilah bermacam-macam ejaan yang berlainan seperti “Kadaian”, “Kadayan”, “Kadian”, “Kadien”, “Kadyan”, “Karayan”, “Kedyan”, “Kedien” dan “Kerayan”. Bagaimana pun pada masa kini, hampir semua bahan cetak termasuk Kamus Dewan, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu menggunakan ejaan “Kedayan”.

Selain Maxwell, tidak banyak kajian secara teliti telah dilakukan atas sejarah dan budaya suku kaum ini. Menurut Bantong Antaran (1985), bahawa asal nama Kedayan itu telahpun wujud bersama-sama dengan kewujudan kesultanan Brunei. Pada mulanya, semua penduduk Brunei hanya lebih dikenali sebagai ‘Melayu’ dan tidak mempunyai suku kaum yang dipanggil atau dikenali sebagai Kedayan ketika sebelum wujudnya kesultanan Brunei ketika itu. Di Sipitang Sabah, penduduk pertama yang menetap di situ dikenali sebagai ‘orang darat’ ialah masyarakat Kedayan dan Lundayeh.

Sumber:

http://bkree66.blogspot.com/2012/02/kedayan-sabah-asal-usul.html

Rujukan:

http://eyamkedayan.blogspot.com/2008/05/asal-usul-kedayan.html

Harrison & Harrison,1970
En. Low Kok On, BA., MA. (USM)2000, Pensyarah Sastera Rakyat.
A.R.Maxwell Jr.research for PhD(Yale University) on linguistic of Kadayan in Brunei
Amde Sidik ,The Mystic of Borneo Kedayan,Kota Kinabalu: Borneo Publishers,2007.

Category: Sejarah

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*